Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti,kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan Klinik 1 Malaysia dan cabaran dalam pelaksanaannya.
Rancangan penubuhan Klinik 1 Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2010 pada 23 Oktober yang lalu telah menjadi kenyataan. Objektif utama penubuhan Klinik 1 Malaysia adalah untuk menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan ringan kepada penduduk di kawasan bandar. Pendekatan ini bersesuaian dengan konsep “Satu Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan memperuntukkan RM10 juta setahun untuk menampung kos operasi bagi 50 buah Klinik 1 Malaysia di seluruh negara.
Penubuhan klinik ini mampu mengurangkan beban pesakit di klinik kesihatan di kawasan bandar. Selain itu, klinik ini juga dapat mempertingkatkan akses penduduk bandar
yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatkan rawatan perubatan ringan. Klinik 1 Malaysia dikendalikan oleh seorang penolong pegawai perubatan dan seorang jururawat terlatih. Antara skop perkhidmatan yang disediakan adalah meliputi perkhidmatan rawatan ringan, susulan kes penyakit kronik, dan melakukan prosedur rawatan ringan. Klinik ini beroperasi setiap hari bekerja bermula 10.00 pagi hingga 10.00 malam dengan melibatkan penggiliran syif bekerja. Semua Klinik 1 Malaysia dibuka di kawasan berpenduduk melebihi 10 ribu orang dan boleh dihubungi dengan cepat dan mudah.
Perkhidmatan perubatan merupakan keperluan asas bagi semua masyarakat di dunia. Malangnya, golongan yang berpendapatan rendah di bandar sering menghadapi masalah kewangan untuk mendapatkan rawatan di klinik mahupun hospital swasta. Tambahan pula, hospital dan klinik kesihatan kerajaan disediakan di kawasan yang terlalu jauh bagi penduduk di kawasan penempatan tertentu. Mereka juga terpaksa berhadapan dengan masalah kesesakan klinik kesihatan di kawasan bandar. Hal yang demikian ini menyebabkan mereka terpaksa mengambil masa yang lama untuk mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti. Kewujudan kemudahan ini membuktikan bahawa kerajaan begitu komited dan mengambil berat masalah kesihatan rakyat. Jabatan Kesihatan sentiasa memantau klinik ini bagi memastikan segala kemudahan dan bekalan ubatan mencukupi. Klinik 1 Malaysia juga menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum. Selain itu, Klinik 1 Malaysia dapat mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.
Kenaikan harga barangan pengguna yang ketara menyebabkan penduduk berpendapatan sederhana jatuh ke status golongan berpendapatan rendah. Keadaan ini menjadi penghalang mereka mendapatkan perkhidmatan perubatan yang lebih berkualiti di klinik dan hospital swasta kerana melibatkan kos yang tinggi. Di samping itu, klinik 1 Malaysia dapat mengurangkan kebergantungan orang ramai terhadap klinik-klinik swasta yang mengenakan harga sesuka hati. Sewajarnya, kewujudan klinik ini dipandang positif kerana mengambil kira kebajikan rakyat tanpa sebarang prejudis. Klinik ini juga tidak mementingkan keuntungan kerana mengenakan bayaran serendah RM1. Diharapkan projek murni ini tidak terhenti setakat ini sahaja. Kemudahan ini perlu ditambah dan diperluas dari semasa ke semasa demi keselesaan dan manfaat kepada rakyat di Malaysia.
[Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana ‘Klinik 1 Malaysia Memenuhi Aspirasi Rakyat’ oleh Noor Mohamad Shakil Hameed, Dewan Masyarakat, Mac 2010]
Contoh Jawapan Lengkap
Petikan membincangkan kebaikan Klinik 1 Malaysia kepada masyarakat di negara kita.
Kepentingan Klinik 1 Malaysia termasuklah untuk menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan ringan kepada penduduk di kawasan bandar. Selain itu, klinik ini mampu mengurangkan beban pesakit di klinik kesihatan di kawasan bandar. Tambahan pula, dapat mempertingkatkan akses penduduk bandar yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatkan rawatan perubatan ringan. Di samping itu, kerajaan begitu komited dan mengambil berat masalah kesihatan rakyat. Malah, dapat mengurangkan kebergantungan orang ramai terhadap klinik-klinik swasta yang mengenakan harga sesuka hati. Sehubungan dengan itu, dapat mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.
Cabaran dalam pelaksanaannya termasuklah Klinik 1 Malaysia terpaksa bersaing dengan perkhidmatan klinik swasta. Malah, orang ramai belum yakin dengan perkidmatannya kerana dikendalikan oleh pembantu perubatan.
Kesimpulannya, orang ramai perlu mendapatkan perkhidmatan Klinik 1 Malaysia supaya taraf kesihatan penduduk berpendapatan rendah di bandar terjamin.
[120 patah perkataan]


2 komen:
ok tak baca...
http://jual-mutiara.com/
Apa kebaikan hospital kerajaan kepada negara?
Post a Comment